Monday, August 8, 2011

Salam Ramadhan 1432H

Hi readers,belum lambat lagi kot rasanya nak wish Selamat Menunaikan Ibadah Puasa untuk readers yang beragama Islam.Dah masuk puasa ke 8 kot hari ni kalo tak silap,so macam biasa la bulan puasa ni siang keje,balik keje g bazar ramadhan kalo ada teringin ape2,kalo tak memang balik umah je la makan apa yang wife aku masak,malam pulak kalo rajin(slalunya mcm tak je kot) memang g tarawikh la.Berikut adalah disertakan hikmah dan panduan solat tarawikh serta fadhilat solat tarawikh setiap malam.Selamat beramal.

Solat Sunat tarawikh,  ialah solat pada malam bulan Ramadhan. Nama sebenarnya, seperti yang disebut oleh hadis sahih, ialah solat Ramadhan (Qiyam Ramadhan).
Tarawikh adalah kata jamak bagi tarwihah, ertinya berhenti rehat. Qiyam Ramadhan ini dilakukan dengan setiap empat rakaat berhenti rehat, maka empat rakaat itu dipanggil satu tarwihah. Kalau sembahyang itu 20 rakaat, maka akan ada lima tarwihah, atau mengikut nahu Arab lima tarawikh. Tidak ada hukum untuk berehat. Seseorang boleh sahaja terus sembahyang hingga habis, tanpa berhenti.

HlKMAH

Solat sunat tarawikh (Qiyam Ramadhan) dilakukan pada malam Ramadhan, secara berjamaah. Solat ini dilaksanakan dengan “berehat-rehat”, kerana ia biasanya dilakukan di masjid secara berjamaah. Maksud berhenti rehat adalah berhenti sekejap. Tujuan solat berehat-rehat untuk mengelakkan ketegangan badan selepas berbuka puasa, disamping memberikan keikhlasan dan ketenangan kepada orang yang sembahyang, khususnya orang yang berumur.
Solat ini digalakkan sebagai cara untuk menghidupkan malam bulan Ramadhan. Nabi menggalakkan orang qiyam Ramadhan, tanpa menjadikannya wajib. Baginda bersabda: “Siapa yang qiyam Ramadhan dengan beriman dan cermat(ihtisaban) akan diampuni dosanya yang lalu.” (Riwayat Jamaah)
Bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat dan diberikan hikmat, antaranya ialah malam diturunkan Quran dan “lailatul qadar”. Solat tarawih dapat menghapuskan segala dosa yang dilakukan oleh seseorang. Solat tarawih ini jika dilakukan pada bulan selain bulan Ramadhan dipanggil solat malam – “solat lail”. Namun solat tarawih lebih utama kerana kedudukannya pada bulan Ramadhan. Solat ini tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi, tetapi cara melakukannya ada kalanya berjamaah di masjid dan ada kalanya tidak.

CARA

Solat sunat tarawih atau qiyam Ramadhan dilakukan selepas solat Isya. Jumlah rakaatnya berbeza-beza antara lapan, dua puluh, tiga puluh dan sebagainya. Terdapat hadis Bukhari dan Muslim mengatakan bahawa Saidatina Aisyah r.anha, isteri Rasulullah s.a.w, melihat baginda bersolat tarawih di rumah lapan rakaat. Dan terdapat amalan sahabat Nabi s.a.w yang pernah menjadi imam solat tarawih pada zaman Nabi, iaitu Ubai bin Kaab r.a, yang mendirikan solat ini 20 rakaat (juga diriwayatkan oleh Bukhari).
Terdapat juga amalan penduduk Madinah melakukan solat tarawih 36 rakaat, dan dalam hadis riwayat al-Baihaqi mengatakan ada sahabat yang solat tarawih 200 rakaat. Mereka berpendapat bahawa solat tarawih (qiyam Ramadhan) adalah nama lain bagi solat mutlak malam (qiyamul lail}. Jika qiyamullail tidak dihadkan jumlah rakaatnya, maka qiyam Ramadhan pun demikian.
Solat sunat Ramadhan lapan rakaat, seperti yang dilihat oleh Aisyah r.anha di rumah, adalah yang minimum. Jumlah ini dipilih oleh segelintir umat Islam. Namun, solat tarawih 20 rakaat menjadi pilihan Imam Shafei, Hanbali dan Hanafi. Alasannya ialah amalan 20 rakaat itu dilakukan oleh Ubai bin Kaab r.a di masjid. Beliau, yang pernah menjadi imam pada zaman Nabi s.a.w, zaman Saidina Abu Bakar r.a dan zaman Saidina Umar r.a, melakukan solat tarawih 20 rakaat,sehingga Saidina Umar r.a pun menetapkan solat tarawih berjamaah di masjid 20 rakaat.
Sebagai hamba kepada Allah yang ingin mengabdi dan berbakti, kita mempunyai pilihan, keupayaan dan kehendak sendiri. Sebabnya, solat tarawih ini ibadat tambahan, dan satu cara untuk menunjukkan kebaktian dan ketaatan kepada Allah, maka Rasulullah s.a.w menyuruh ia dilakukan mengikut kemampuan, keikhlasan dan kerelaan. Sekiranya memadai dengan lapan, atau perlu ditambah hingga 20, itu hanyalah pilihan.
Perlu diingatkan ialah manusia perlu menjaga kesihatan, perlu tidur, perlu rehat seperti yang disabdakan oleh Nabi: “Adakah kamu yang memberitahu aku, kamu berpuasa pada siang hari dan solat sepanjang malam? Maka Abdullah bin Amru menjawab: Benar! Maka sabda Nabi: “Jangan buat begitu. Tetapi puasalah, bukalah, solatlah dan tidurlah. Badan kamu ada hak, dan mata kamu pun ada hak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Solat tarawih dilakukan dengan setiap dua rakaat satu salam. Selepas membaca bacaan wajib iaitu Fatihah, sunat membaca sebarang ayat atau surah daripada Quran, tidak kira pendek atau panjang, atau berulang-ulang, asalkan bacaan itu betul dan solat ini dibuat dengan cermat. Tidak ada hadis Nabi tentang bacaan surah ini.
Segala bacaan di luar solat, seperti salawat, doa dan periwayatan khalifah tidak termasuk amalan solat tarawih, tetapi hanya selingan antara solat. Tidak ada larangan untuk bersalawat atau berdoa, jika cara dan adab melakukannya baik. Dan ia tidak menjejaskan solat tarawih jika ditinggalkan.

Nota:

Sekiranya solat sendirian di rumah, maka bolehlah membaca surah panjang atau ayat Quran sebanyak-banyaknya. Namun sekiranya berjamaah di masjid umum, maka pendapat yang terpilih ialah bacaan imam haruslah ringkas, yang terdiri lima atau enam ayat untuk satu rakaat. Perkara yang perlu dijauhi ketika mendirikan solat sunat, apa jenis solat sunat pun, ialah menjauhkan sikap riya’. Hal ini ditegah Allah: “Celakalah (orang yang solat) yang mereka menunjuk-nunjuk. (al-Ma’un :6)

Lafaz niat:

أ ُصـَــلـِّــى سـُــنـَّـَــة َ الــتـَّـَــرَاو ِيـْــح ِ رَكـْــعـَــتـَــيـْــن ِ لـِــلـَّـَـه تـَــعـَــالـَــى
Niat di hati: “Sengaja saya solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

PERINGATAN:

Semua solat sunat bersendirian boleh dilakukan dengan cara duduk (solat fardhu tidak sah dilakukan sambil duduk sekiranya berkuasa berdiri)

Diriwayatkan oleh Saiyidina Ali (r.a.) daripada Rasulullah S.A.W., sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. tentang fadilat (kelebihan) sembahyang sunat tarawikh pada bulan Ramadan :
Malam 1 – keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana ia baru
dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.
Malam 2 – diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang tarawikh serta kedua
ibu bapanya (sekiranya mereka orang beriman)
Malam 3 – berseru Malaikat di bawah ‘Arasy supaya kami meneruskan sembahyang tarawikh
terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.
Malam 4 – memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca
kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
Malam 5 – Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidilharam,
Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
Malam 6 – Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di
Baitul Ma’mur (70 ribu Malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah
mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang
tarawikh pada malam ini.
Malam 7 – Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi
‘Alaihissalam nenentang musuh ketatnya Fir’aun dan Hamman.
Malam 8 – Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawikh seperti mana yang telah
dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihissalam.
Malam 9 – Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi
Muhammad S.A.W.
Malam 10 – Allah Subhanahuwata’ala mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di
akhirat.
Malam 11 – Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baharu
dilahirkan.
Malam 12 – Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).
Malam 13 – Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan
dan keburukan.
Malam 14 – datang Malaikat menyaksikan ia bersembahyang tarawikh, serta Allah tiada
menyesatkannya pada hari Qiamat.
Malam 15 – Semua Malaikat yang menanggung ‘Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakannya
supaya Allah mengampunkannya.
Malam 16 – Allah subhanahuwata’ala tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan
dimasukkan ke dalam Syurga.
Malam 17 – Allah kurniakan orang yang bertarawikh pahalanya pada malam ini sebanyak
pahala para Nabi.
Malam 18 – Seru Malaikat : Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada
engkau dan ibu bapa engkau (yang masih hidup atau mati)
Malam 19 – Allah Subhanahuwata’ala tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.
Malam 20 – Allah kurniakan kepadanya pahala sekalian orang yang mati syahid dan
orang-orang solihin.
Malam 21 – Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada nur.
Malam 22 – Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan
(tidaklah dalam keadaan huru-hara di Padang Masyar).
Malam 23 – Allah Subhanahuwataala binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga
daripada nur.
Malam 24 – Allah buka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang bertarawikh malam ini,
(elok sekali berdoa ketika dalam sujud)
Malam 25 – Allah Taala angkatkan daripada siksa kubur.
Malam 26 – Allah kurniakan kepada orang bertarawikh pahala pada malam ini seumpama 40
tahun ibadat.
Malam 27 – Allah kurniakan orang bertarawikh pada malam ini ketangkasan melintas atas
titian Sirotolmustaqim seperti kilat menyambar.
Malam 28 – Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 darjat di akhirat.
Malam 29 – Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang
mabrur.
Malam 30 – Allah Subhanahuwataala beri penghormatan kepada orang bertarawikh pada malam
terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman:
“Hai hambaKu : makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di
dalam syurga, dan mandilah engkau dariapda air syurga yang bernama Salsabila, serta
munumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama


Sekian,jumpa lagi di lain entry ye.
___________________________________________________________